Sunday, May 6, 2012

1. BERSIH 3.0 adalah perhimpunan rakyat yang terbesar pernah saya sertai. Ia pengalaman hujung minggu yang terbaik untuk saya tahun ini.

2. Jujurnya, saya bukanlah kaki demo. Kali terakhir sertai adalah perhimpunan membantah PPSMI beberapa tahun lalu. Tetapi memandangkan tahap keseriusan kerajaan yang rendah dalam menjadikan pilihanraya telus dan bersih, saya kuatkan diri untuk hadir walaupun batuk masih belum kebah. Di samping itu, saya mahu melihat dengan dekat agar penilaian yang dibuat lebih adil dan objektif.

3. Seawal 10.50 pagi, saya bersama-sama Nik Razak Ridzuan, Khairuddin Bajuri dan Faezuddin tiba di KLCC. Kami dan beberapa orang teman termasuk Khalil Abdullah Zawawi kemudiannya berjalan kaki menuju ke Dataran Merdeka.

4. Tiba di Dataran sekitar jam 11.20 pagi. Keadaan begitu aman dan tenteram cuma sudah mulai sesak. Ruang hanya muat untuk berdiri dan agak sempit untuk peserta duduk.


5. Selain BERSIH 3.0, satu lagi kumpulan peserta adalah peserta yang membantah Lynas. Saya cuba mencari kalau-kalau ada peserta LGBT tetapi nyata tiada. Ternyata, ia hanyalah propaganda media Umno/BN untuk mengaitkan perjuangan songsang itu dengan BERSIH 3.0.

6. Selain itu, saya juga cuba meninjau jumlah peserta berbangsa Cina. Sebelum ini, saya dimomokkan bahawa peserta perhimpunan sebegini hampir kesemuanya adalah Melayu. Propaganda bahawa kaum Cina hanya goyang kaki di rumah dan mempergunakan Melayu nyata mitos keji dan bersifat perkauman. Ia suatu bentuk kezaliman dalam membuat penilaian.

7. Saya melihat jumlah peserta berbangsa Cina dengan peserta berbangsa Melayu tidak banyak berbeza. Malahan mereka antara yang berani mendada di barisan hadapan. Timbul rasa malu dan terharu. Betapa kaum lain begitu bersemangat berjuang dan rela berkorban untuk negara tercinta sedangkan masih ada kaum sendiri berdengkur hujung minggu di rumah saat ketelusan pilihanraya masih diragui. Lebih malang lagi apabila kelompok ini, apabila bangun dari dengkuran, cuba pula menjadi hakim mencerca peserta perhimpunan dengan hujah itu dan ini. Ia sangat menjengkelkan.

8. Sekitar jam 12.00 tengahari, beberapa orang pimpinan memberikan ucapan. Antaranya YB Husam Musa, YB Mahfuz Omar, YB Mujahid, YB Azmin Ali, YB Tian Chua dan beberapa orang pimpinan mahasiswa. Mereka bersemangat dan tidak jemu menyantuni peserta. Ucapan mereka juga dibuat tanpa sebarang unsur hasutan dan provokasi. Beberapa orang pimpinan melafazkan ikrar taat setia kepada Negara dan SBPA Yang DiPertua Agong. Saya tambah teruja apabila di hujung ucapan YB Husam Musa pula, beliau mengajak semua peserta bangun dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ sebagai tanda cintakan Negara yang mendalam.

9. Sekitar jam 3.00 petang, keadaan semakin sesak. Saya terasa pening dan loya tekak. Saya berundur ke dataran DBKL dan menunaikan solat di situ bersama-sama Razak. Saat itu, mood peserta rata-ratanya sudah mulai keletihan dan mahu bersurai.

10. Selesai solat, keadaan di Dataran Merdeka secara tiba-tiba agak kelam-kabut. Kelihatan polis berundur beramai-ramai ke belakang dan FRU mulai melancarkan semburan air (water canon) dan melepaskan tembakan gas pemedih mata (hakikatnya pemedih mata, hidung dan hati). Saya lihat peserta beramai-ramai meluru ke arah polis dan kemudiannya berundur kerana tidak tahan dengan gas dan air.

11. Mulai saat inilah keadaan huru-haru. Saya melihat ada ibu tua terjatuh, warga tua yang tercungap-cungap terkena gas. Juga OKU yang begitu bersemangat walaupun teruk diasak. Semangat mereka menakjubkan!


12. Saya juga tidak terkecuali terkena. Rasanya gas ini terlalu kuat kesannya berbanding gas yang diguna dalam beberapa perhimpunan sebelum ini. Saya sesak nafas dan hampir gagal bernafas. Batuk yang belum sembuh memburukkan keadaan.

13. Demi Allah, pada saat itu saya hanya berfikir betapa ajal seakan hampir. Dan saya redha, bersyukur dan berbangga jika mati dalam keadaan memperjuangkan sebuah pilihanraya yang bersih dan adil. Kerana saya mahu pemimpin yang akan dipilih adalah pemimpin yang terbaik, lebih adil dan bertaqwa untuk mentadbir negara ini.

14. Saya jatuh tersungkur di tepi bangunan DBKL dan tidak mampu lagi melangkah.  Seorang lelaki datang memberikan air mineral. Beransur-ansur, saya kembali dapat bernafas dan mulai bangun melangkah.

15. Saat itu, saya lihat segelintir peserta mulai naik angin. Beberapa insiden sebagaimana dilaporkan media berlaku pada waktu ini termasuk insiden menterbalikkan kereta di sekitar Sogo.

16. Perhimpunan berakhir sekitar jam 5.30 petang. Ada beberapa kecederaan dilaporkan manakala berita tentang kematian tidak dapat disahkan sehingga saat ini.

17. Saya meninggalkan Dataran Merdeka dengan perasaan bercampur-baur. Saya bangga dan cukup berpuas hati untuk pengalaman bernegara ini. Saya bangga melihat anak-anak muda, orang tua, wanita, gadis, OKU dan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum mengambil bahagian. Seluruh peserta yang hadir tanpa mengira kaum bersatu-padu membantu antara satu sama lain. Masa depan negara ini adalah pada mereka yang peka dan cakna.

18. Beberapa persoalan juga timbul di benak fikiran. Mengapa polis beria-ria sangat menjaga Dataran Merdeka dari dipenuhi peserta Bersih 3.0. Bukankah Dataran Merdeka lebih sesuai berhimpun berbanding jalan? Kalau polis benarkan, kemudian peserta masuk berhimpun sekejap kemudian balik. Habis cerita.

19. Apabila polis mempertahankan Dataran, sebenarnya polis mempertahankan ego dan keangkuhan Hishammuddin Hussein Menteri KDN dan Najib Razak Perdana Menteri. Mereka jelas menjadi alat kepada pemimpin Umno bukan untuk keselamatan negara.

20. Apapun, perjuangan belum selesai. Saya yakin BERSIH akan tetap diteruskan selagi pilihanraya masih KOTOR!

No comments:

Post a Comment